SERAMAI 110 atlet berusia bawah 21 tahun bakal menjadi sebahagian daripada kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, satu perkembangan yang dilihat penting dalam usaha negara melahirkan pelapis berpotensi untuk masa depan sukan tanah air.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata penyertaan atlet muda itu membuktikan proses pembangunan bakat negara terus diberi perhatian, bukan hanya bagi memburu kejayaan di pentas antarabangsa tetapi juga memastikan kesinambungan generasi atlet.

Menurut beliau, kehadiran lebih ramai atlet pelapis membolehkan Malaysia mempunyai kelompok bakat yang lebih besar untuk diketengahkan pada masa akan datang, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kelompok atlet sedia ada.

“Yang paling penting bukan kita hanya ingin menghantar atlet yang boleh membawa pingat semata-mata, tetapi kita kena tengok langkah ke hadapan, masa depan sukan negara kita,” katanya semalam.

Malaysia dijadualkan menghantar 356 atlet bersama 185 jurulatih dan pegawai bagi menyertai 30 jenis sukan pada temasya yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober itu. Daripada jumlah berkenaan, 15 atlet berada di bawah program Road to Gold (RTG), 158 merupakan atlet podium, 14 pelapis manakala 169 lagi berada dalam kategori berfasa.

Dalam perkembangan persiapan terakhir, Mohammed Taufiq berkata beliau bersama Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Sumali Reduan, akan meninjau beberapa lokasi latihan sebagai sebahagian daripada persediaan kontinjen menjelang temasya.

Beliau turut memaklumkan sasaran pingat Malaysia bagi Aichi-Nagoya 2026 akan diumumkan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang yang dijadualkan berlangsung pada 8 September.

Pada masa sama, perancangan awal untuk menghadapi LA28 sudah dimulakan dengan MSN melakukan pemetaan terhadap atlet berpotensi dalam beberapa cabang, termasuk renang, terjun, olahraga, berbasikal, pelayaran, memanah, badminton dan hoki berdasarkan laluan kelayakan masing-masing.

Mohammed Taufiq berkata sekitar 28 atlet dikenal pasti dalam unjuran awal untuk diketengahkan ke arah LA28, namun jumlah itu masih tertakluk kepada pencapaian serta perkembangan proses kelayakan. Justeru, beliau menegaskan persiapan ke Olimpik 2028 perlu dirancang lebih awal memandangkan sesetengah sukan sudah memulakan tempoh kelayakan pada awal tahun ini.