SELEPAS bertungkus lumus menjalani latihan, kini tiba masanya pasukan e-sport negara menyajikan aksi sebenar di pentas Sukan SEA 2021.

Kapten pasukan SEM9 yang akan bertanding dalam acara pingat League of Legends: Wild Rift, Poon Kok Sing bertekad memburu pingat emas untuk Malaysia pada edisi di Hanoi.

“Kami hadir dalam misi untuk menang. Segala persiapan dan perancangan rapi telah dilakukan termasuk latihan yang kami gandakan semasa di Malaysia.

“Kami juga hadir awal ke Vietnam bagi memeriksa peralatan mereka dan membiasakan diri dengan persekitaran di sana,” katanya kepada Flash Sukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Kok Sing turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk sokongan yang ditunjukkan oleh kerajaan terhadap sukan esport ini.

“Saya rasa ini kali pertama melihat sokongan besar seperti itu datang daripada pihak kerajaan.

“Kepada peminat e-sport terus sokong dan doakan kejayaan kami di Vietnam,” kata Kok Sing yang berusia 25 tahun.

Pertandingan Wild Rift dan Free Fire di Sukan SEA dijadualkan akan bermula pada 13 Mei.