Kredit Gambar: Media Sosial Manchester City
Manchester City melengkapkan pembelian pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez dari Chelsea dengan nilai dilaporkan £125 juta (RM684 juta), sekali gus menyamai rekod perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak Britain.
Jumlah berkenaan menyamai nilai yang dibayar Liverpool kepada Newcastle United untuk mendapatkan penyerang Sweden, Alexander Isak pada tahun lalu.
Kehadiran Fernandez, 25, menjadi sebahagian daripada rombakan besar-besaran jentera tengah City selepas kelab itu kehilangan beberapa pemain penting termasuk Rodri yang berpindah ke Barcelona, selain Bernardo Silva, Nico Gonzalez dan Tijjani Reijnders.
Fernandez dijangka mengisi bahagian tengah baharu City bersama pemain antarabangsa England, Elliot Anderson dan pemain Maghribi, Ayyoub Bouaddi, dengan keseluruhan perbelanjaan bagi membentuk unit berkenaan kini melebihi £300 juta (RM1.64 bilion).
Pemain kelahiran Argentina itu menyifatkan peluang menyertai City sebagai sesuatu yang sukar ditolak, selain menyatakan hasrat untuk menimba pengalaman daripada rakan sepasukan baharu dan terus meningkatkan tahap permainannya.
“Setiap pemain mahu menjadi sebahagian daripada kelab seperti ini kerana semua orang tahu betapa baiknya City diuruskan. Kelab ini dibina untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Fernandez meninggalkan Chelsea selepas tiga tahun bersama kelab London itu, yang mendapat khidmatnya daripada Benfica pada 2023 dengan nilai £106 juta (RM580 juta). Sepanjang tempoh tersebut, dia membantu The Blues memenangi Liga Konferens Eropah dan Piala Dunia Kelab.
Namun, hubungannya dengan penyokong Chelsea dilaporkan semakin tegang selepas timbul spekulasi mengenai keinginannya untuk berpindah, termasuk minat terhadap Real Madrid. Fernandez juga tidak disenaraikan dalam dua perlawanan terakhir Chelsea ketika rundingan mengenai perpindahannya ke City semakin hangat.
Dalam mesej perpisahannya kepada Chelsea di Instagram, Fernandez mengakui proses meninggalkan Stamford Bridge bukan sesuatu yang mudah buatnya. “Hidup adalah mengenai membuat keputusan dan ketika ini saya mendapati diri saya perlu membuat salah satu keputusan sukar itu,” katanya.
Pengarah bola sepak City, Hugo Viana pula percaya Fernandez mampu memberikan dimensi baharu kepada pasukan itu, dengan pengalaman di peringkat tertinggi bersama Argentina dan kelab Eropah menjadi antara faktor utama yang mendorong perpindahan tersebut. Fernandez juga menjadi sebahagian daripada skuad Argentina pada Piala Dunia sebelum ini, termasuk menjaringkan dua gol ketika pasukan itu mara ke final.