LIMA pemain bola sepak negara telah dipilih menyertai skuad ASEAN All-Stars yang akan menentang kelab ternama England, Manchester United, dalam perlawanan Maybank Challenge Cup yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Mei ini.

Malaysia bukan sahaja menjadi tuan rumah perlawanan blockbuster itu, malah menjadi penyumbang terbanyak pemain dalam skuad pilihan Asia Tenggara, membuktikan keyakinan rantau ini terhadap bakat tempatan.

Nama-nama besar yang terpilih termasuk bek kanan Terengganu FC, Muhammad Azam Azmi Murad, yang pantas dan agresif dalam transisi permainan. “Ini peluang untuk kami buktikan Malaysia tidak jauh ketinggalan,” katanya yang tekad untuk mengharumkan nama negara.

Muhammad Adib Abdul Ra’op dari Penang FC turut tersenarai dan dijangka menjadi watak penting dalam mencorak serangan. “Ini pentas impian untuk mana-mana pemain. Saya mahu manfaatkan sepenuhnya peluang ini,” ujar pemain sayap lincah itu.

Turut menyarung jersi ASEAN All-Stars adalah penjaga gol Perak FC, Muhammad Haziq Nadzli. Berbekal refleks tangkas dan ketenangan luar biasa, Haziq menjadi pilihan utama untuk menyekat barisan serangan Red Devils. “Saya pernah impikan detik ini sejak kecil. Kini ia jadi kenyataan,” katanya teruja.

Pertahanan kental KL City FC, Declan Lambert pula membawa kestabilan di benteng, manakala penyerang berbisa Sri Pahang, Sergio Aguero yang dikenali dengan penyudah klinikal akan mengetuai jentera depan.

Kelima-lima pemain ini akan beraksi di bawah bimbingan jurulatih Korea Selatan, Kim Sang Sik, yang membimbing Vietnam menjuarai Kejohanan ASEAN 2024, memberi harapan bahawa ASEAN All-Stars mampu beri tentangan sengit.

Dengan kehadiran Manchester United ke Malaysia sejak 16 tahun lalu, dijangka lebih 60,000 penyokong akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. Tiket kini dijual di www.myticketempire.com/manumy — dan peminat disarankan bertindak pantas sebelum terlepas peluang menyaksikan sejarah dicipta.