Paris Saint-Germain terus mengukuhkan dominasi dalam bola sepak Perancis apabila mengesahkan kejuaraan Ligue 1 buat musim kelima berturut-turut selepas menewaskan Lens 2-0 awal pagi tadi.

Kemenangan di Stade Bollaert-Delelis itu memastikan skuad kendalian Luis Enrique tidak lagi mampu dipintas pencabar terdekat meskipun saingan liga hanya berbaki satu perlawanan.

PSG membuka jaringan pada penghujung babak pertama menerusi Khvicha Kvaratskhelia selepas menerima lorongan kemas daripada Ousmane Dembele.

Walaupun turun tanpa beberapa tonggak utama yang direhatkan, juara Perancis itu tetap mengawal permainan dan berjaya mengekang tekanan tuan rumah.

Lens hampir menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi Abdallah Sima, namun percubaannya sekadar terkena tiang gol.

Pasukan tuan rumah sekali lagi kecewa apabila jaringan Florian Thauvin dibatalkan kerana ofsaid ketika mereka cuba bangkit memburu gol penyamaan.

PSG kemudian mengesahkan kemenangan menerusi pemain gantian Ibrahim Mbaye yang meledak gol kedua pada masa kecederaan.

Kejuaraan kali ini menyaksikan PSG meraih gelaran Ligue 1 ke-14 dalam sejarah kelab dengan majoritinya hadir sejak pengambilalihan oleh pemilik dari Qatar.

Selain trofi liga, PSG turut menikmati musim cemerlang apabila sudah memenangi beberapa kejuaraan lain termasuk Piala Super UEFA dan Piala Antara Benua FIFA.

PSG kini berpeluang melengkapkan musim gemilang apabila bakal berdepan Arsenal pada final Liga Juara-Juara UEFA di Budapest pada 30 Mei ini.

Sumber Gambar: FB PSG