BEREGU lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menarik nafas lega selepas menamatkan badi enam kejohanan terdahulu yang menyaksikan mereka tersingkir seawal pusingan pertama, apabila berjaya mara ke pusingan kedua di Perodua Malaysia Masters 2025, namun mereka akui perlu tampil lebih konsisten.

Walaupun gembira dengan pencapaian yang lebih baik berbanding aksi sebelum ini, Haikal tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hati terhadap corak permainan mereka ketika tewas dalam aksi pusingan kedua.

“Pasal game (pusingan kedua) saya rasa tak puas hati sangat… memang tak puas hati sangat,” kata Haikal dengan nada jujur.

“Kita kalah sebab tak konsisten, banyak buat mistake sendiri dan walaupun kita ada plan, tapi mereka counter dan kita pula tak dapat kawal bahagian depan gelanggang.”

Beregu muda itu kini meletakkan fokus kepada cabaran lebih besar di Terbuka Singapura minggu hadapan, apabila dijadual bertemu pasangan handalan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang dianggap lawan sukar tetapi tidak begitu konsisten kebelakangan ini.

“Kami tetap kena keluarkan game kami dulu, bagi 100 peratus dan kalau menjadi, insya-Allah boleh fight… tekanan sebenarnya lebih pada mereka,” katanya.