PENGERUSI Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Suraya Yaacob, tampil menyuarakan sokongan penuh kepada skuad Malayan Tigress B-20 yang dibelasah 16-0 oleh Jepun, sambil mengingatkan semua pihak agar tidak menghentam pemain muda itu hingga mematahkan semangat mereka.

Dalam hantaran di Facebook, Suraya mengakui beliau tidak dapat tidur memikirkan nasib pemain-pemain muda tersebut, bukan kerana keputusan itu memberi kesan kepada bola sepak Malaysia secara keseluruhan, tetapi kerana bimbang ada yang akan terus berhenti bermain, mengalami trauma di padang, atau langsung tidak mampu bangkit semula selepas kekalahan besar ini.

Beliau mengimbas kembali detik hitam bola sepak wanita negara apabila skuad senior pernah tewas 22-0 kepada Thailand, sehingga kerajaan ketika itu memutuskan untuk tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa dan menghentikan pembangunan bola sepak wanita — langkah yang akhirnya meninggalkan Malaysia jauh di belakang dan ranking dunia jatuh merudum.

“Ini dinamakan pembangunan. Kita mesti terima kekalahan dan bangkit. Kita kena faham pemain dan pegawai memerlukan sokongan. Mereka sangat muda, ada yang baru 15 tahun. Masa kita 15 tahun, adakah kita bermain untuk negara, negeri atau daerah?” tulisnya.

Suraya menegaskan bahawa mencari alasan kekalahan tidak akan membantu ketika ini, sebaliknya semangat juang dan keyakinan yang dipupuk mampu mengubah persembahan mereka pada perlawanan seterusnya menentang Guam, Ahad ini.

“Berilah sokongan, mereka memerlukan untuk terus bangun dan berjaya. Kita membina negara, bukan meruntuhkannya. Saya berjanji akan membantu membangunkan Bola sepak wanita ini dan saya akan teruskan. Let’s do this,” tegasnya.

Skuad muda negara kini berdepan misi menutup kempen dengan maruah apabila beraksi menentang Guam pada Ahad.