PENTAS akhir bagi perlawanan Al Ikhsan Cup 2023 yang menyaksikan pasukan UiTM United dan Yayasan Pahang Maintenance (YPM FC) akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, pada Sabtu.
Kedua-dua pasukan yang diletakkan dalam zon yang sama pada aksi peringkat kumpulan dan rekod pertembungan nyata memihak kepada YPM FC dengan kemenangan tipis 1-0 ditempat lawan pada pusingan kedua selepas sekadar seri 1-1 pada pusingan pertama dilaman sendiri.
Namun buat pengendali skuad UiTM United Mohd Yazli Yahya, dia yakin bahawa anak buahnya akan beraksi dengan cemerlang walaupun mereka dianggap baru dalam kancah saingan liga berbanding pemain-pemain pihak lawan yang sudah berpengalaman.

Yazli Yahya dalam masa yang sama tidak memandang rendah terhadap kekuatan YPM FC namun dengan persiapan yang dibuat dalam tempoh dua minggu sebelum perlawanan ini, dirinya pasti kesemua pemain dapat menonjolkan prestasi sebenar yang lebih agresif seperti yang diharapkan.
“Insya Allah kelebihan yang kita ada iaitu bermain di laman sendiri esok, pemain-pemain dapat memberi satu hadiah dan keputusan yang positif buat ibu bapa mereka yang turun menyokong dan buat UiTM sendiri,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan akhir di Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi.
Sementara itu, ketua jurulatih YPM FC, Syed Farul Hakim Syied Mahmud memandang serius mengenai status kecederaan yang dialami oleh tiga pemain harapannya dan berharap agar mereka dapat mengembalikan semula prestasi untuk perlawanan esok.

“Saya khuatir jika perancangan yang telah dibuat akan berubah sekiranya tonggak utama dalam skuad ini tidak sempat pulih sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan esok.
“Namun, saya juga yakin dengan pemain-pemain lain yang sudah lama mempersiapkan diri dari segi mental mahupun fizikal bagi berdepan dengan skuad UiTM di final nanti.
“Pihak kami akan membawa penyokong-penyokong dalam empat biji bas ke Stadium UiTM sebagai suntikan semangat buat para pemain YPM FC dan masing-masing pasti mengharapkan kejuaraan dalam Piala Al Ikhsan ini,” ujarnya kepada pihak media.
Kehangatan yang bakal berlaku di Stadium UiTM Shah Alam pastinya menjanjikan perlawanan yang sengit kerana kedua-dua pasukan ingin merebut gelaran juara sulung dalam kejohanan edisi kali ini.