JURULATIH paskan Bawah 16 (B-16) Tahun Kebangsaan, Osmera Omaro yakin dengan kemampuan pasukannya dalam menghadapi Kejohanan Piala AFF B-16 Tahun yang akan berlangsung di Jogjakarta bermula 31 Julai ini.
Osmera juga meletakkan sasaran peribadi untuk muncul juara dan dia suka meletakkan tekanan pada dirinya agar sentiasa mendapatkan keputusan yang terbaik.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahukan skuad ini mengikuti jejak langkah kejayaan skuad B-19 yang muncul juara juga di bumi Indonesia baru-baru ini.

Osmera mengakui sasaran yang diletakkan terhadap skuadnya dianggap sebagai cabaran dan motivasi.
“Ianya adalah perasaan dua dalam satu. Pertama pastinya akan merasa tekanan dan satu lagi kami ambilnya sebagai cabaran dan motivasi untuk buktikan yang kita boleh.
“Dalam bola sepak tekanan itu adalah perkara biasa. Saya sering meletakkan tekanan kepada diri saya sendiri agar saya dapat memberikan yang terbaik sekaligus dapat memotivasikan pemain remaja ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi pasukan pada Khamis.
Dari segi persediaan pula, Osmera menyatakan kesemua pemainnya berada dalam keadaan yang baik dan mereka akan bermain beberapa perlawanan persahabatan kompetitif sebelum berangkat ke Jogjakarta pada 29 Julai nanti.
Skuad B-16 Tahun Kebangsaan diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Kemboja, Myanmar dan Australia dengan juara setiap kumpulan dan satu tempat kedua terbaik layak ke peringkat separuh akhir.
Kesemua perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan akan berlangsung di Stadium Maguwoharjo, Sleman kira-kira 10 kilometer dari pusat kota Jogjakarta.
Sebagai rekod, Malaysia adalah juara bertahan kejohanan ini apabila muncul pemenang selepas menewaskan tuan rumah ketika itu, Thailand 2-1 pada edisi 2019 di bawah kendalian P.Maniam