JUARA dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memilih untuk berehat seketika dengan menarik diri daripada Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini.

Keputusan itu dibuat selepas mereka mengakui kondisi belum pulih sepenuhnya sebaik menamatkan Kejohanan Dunia di Paris minggu lalu.

Kurang latihan sejak pulang ke tanah air turut mendorong pasangan nombor 3 dunia itu mengutamakan pemulihan berbanding memaksa diri beraksi.

Ketua jurulatih, Nova Widianto berkata langkah tersebut penting kerana jadual padat boleh menjejaskan prestasi jangka panjang mereka.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mahu Tang Jie-Ee Wei benar-benar cergas untuk ke kejohanan.

“Awalnya mereka mahu ke Hong Kong, tapi selepas berbincang, kondisi Ee Wei agak kurang dan kami sepakat berehat,” kata Nova.

Beliau menegaskan keputusan itu bukan langkah mundur, sebaliknya strategi terbaik untuk fokus pada China Masters, kejohanan bertaraf Super 750.

Tang Jie-Ee Wei kini berada di landasan selesa selepas mencipta sejarah muncul beregu campuran pertama Malaysia bergelar juara dunia.

Dengan slot automatik ke Jelajah Dunia Akhir sudah digenggam, rehat kali ini dianggap pelaburan bijak untuk memastikan mereka kekal menyengat di pentas besar.