Jurulatih pemain profesional negara, Liew Daren yakin anak buahnya, Lee Zii Jia mampu memberikan impak besar sekiranya diturunkan beraksi pada saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Keyakinan itu hadir selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan senarai pemain yang akan membawa cabaran negara dengan Zii Jia turut tersenarai bersama Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Berdasarkan ranking dunia semasa, Leong Jun Hao dijangka menggalas tugas sebagai perseorangan pertama diikuti Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, manakala Zii Jia berada di posisi keempat.
Namun, pengalaman luas dimiliki pemain berusia 28 tahun itu membuka peluang untuk beliau diturunkan sebagai perseorangan ketiga, khususnya dalam perlawanan penting.
Daren percaya pemain yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu bersedia untuk menyumbang mata berharga buat pasukan negara.
“Berdasarkan ranking, dia akan menjadi perseorangan ketiga. Apa pun, kami akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan satu mata buat Malaysia jika dia diturunkan,” katanya.

Pemain profesional negara, Lee Zii Jia ketika sesi latihan persiapan Piala Thomas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara. (Sumber Gambar: BAM)
Dalam masa sama, beliau menegaskan kejayaan pasukan tidak boleh bergantung kepada seorang pemain sahaja, sebaliknya memerlukan sumbangan menyeluruh daripada semua pemain.
“Ia bukan hanya mengenai Zii Jia kerana dia perseorangan ketiga. Perseorangan pertama dan kedua juga memainkan peranan penting. Ini adalah usaha berpasukan,” katanya.
Selain itu, cabaran Malaysia turut diperkuatkan dalam acara beregu lelaki yang dibarisi pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selain gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir menjulang Piala Thomas adalah pada tahun 1992 di Kuala Lumpur.