IMPIAN Malaysia ke pentas final Piala Asia 2025 masih belum berkubur meskipun tumbang 1-4 kepada India pada aksi kedua ‘Super Four’, malam tadi.

Segala-galanya kini bergantung pada misi wajib menang menentang Korea Selatan, Sabtu ini untuk menghidupkan peluang ke perlawanan akhir.

Skuad bimbingan Sarjit Singh tiada pilihan lain kecuali menumbangkan Korea Selatan jika mahu terus menyalakan api perjuangan Speedy Tigers.

Dua pemain negara cuba menghalang serangan pasukan India|Pix Hockey India

Di Stadium Hoki Bihar Sports University, Malaysia bermula cemerlang dengan jaringan padang seawal minit kedua menerusi Muhammad Shafiq Hassan.

Namun India menghukum kelekaan dengan empat gol berturut-turut hasil sentuhan Manpreet Singh, Sukhjeet Singh, Shilanand Lakra dan Vivek Sagar Prasad.

Sarjit berkata: “Pada 15 minit awal kita bermain dengan baik tetapi selepas itu kita buat kesilapan besar, terutama di suku kedua apabila dibolosi tiga kali.”

Beliau menambah: “Persembahan tetap bagus, ada peningkatan, cuma kita kena lebih agresif kawal pemain lawan dari depan, bukan di belakang.”

Skuad negara beraksi cemerlang dipusingan awal apabila mengunggili kumpulan B, dan membuka saingan Super4 dengan mengatasi China 3-0, tewas kepada India semalam 1-4 dan wajib menang ke atas Korea Selatan, esok.