TIDAK mahu tukar gandingan lagi. Begitulah harapan dari Wan Arif Junaidi yang sudah selesa bersama Yap Roy King, terutamanya selepas menjuarai Kejohanan Badminton Kebangsaan semalam.
Pemain kelahiran Terengganu itu berkata, gelaran kedua diraih mereka itu diharap menjadi bukti kepada barisan kejurulatihan untuk mengekalkan gandingan yang sudah ditetapkan sejak awal tahun ini.
“Saya rasa akan kekal bersama Roy King. Sekarang pun kami sudah di ranking ke-85 dunia.
“Jika pecahkan kembali gandingan ini… sayang. Bukan senang untuk kejar semula,” kata Wan Arif.
Kejohanan Kebangsaan adalah kejuaraan kedua mereka sejak mula digandingkan awal tahun ini, selepas berjaya muncul juara Cabaran Antarabangsa Nantes di Perancis bulan lalu.

“Normallah di gelanggang, ada kalanya kami marah (sesama sendiri) dan tertekan. Apa yang perlu kami buat ketika itu adalah tenangkan perasaan masing-masing, sabar dan jangan terburu-buru matikan pukulan.
“Paling penting masing-masing boleh ikut cara permainan, kami pula ada kelebihan kerana seorang bermain tangan kanan dan seorang lagi tangan kiri. Mudah untuk melakukan penggiliran di dalam gelanggang. Saya pun tidak sangka kami berdua boleh mengikuti kepantasan masing-masing,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
Kekurangan mereka ketika bertahan, diakui perlu diperbaiki selain kurang konsisten sepanjang perlawanan.
Wan Arif-Roy King muncul juara semalam selepas menumpaskan pasangan profesional yang juga juara Cabaran Antarabangsa Mongolia Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-17, 21-12.