SKUAD Malaysia B-23 bakal turun dengan misi hidup mati apabila menentang Thailand pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia B-23 2026 peringkat Kumpulan F di Stadium Thammasat, malam esok.

Hujan lebat yang kerap melanda Bangkok ketika ini berpotensi mempengaruhi corak permainan, namun pengendali negara, Nafuzi Zain sudah bersedia dengan pelan taktikal terbaik untuk menghadapi situasi luar jangka tersebut.

Nafuzi mengakui keadaan padang basah serta bertakung boleh menjejaskan rentak permainan pasukannya, namun menegaskan para pemain tetap perlu mengekalkan fokus dan disiplin.

“Kita tahu sekarang ini dua tiga hari cuaca hujan lebat, jadi kita kena bersedia bermain dalam keadaan hujan. Bukan kita tak boleh main seperti biasa, tetapi mungkin ada cara sesuai untuk sesuaikan corak permainan dalam keadaan ini,” jelasnya.

Pertembungan menentang tuan rumah Thailand menjadi penentu nasib Malaysia selepas tewas kepada Lubnan pada aksi pembukaan sebelum bangkit membelasah Mongolia 7-0. Thailand pula memiliki kelebihan satu mata, menjadikan perlawanan ini penentu mutlak buat Malaysia dalam perebutan slot ke pusingan akhir.

Menurut Nafuzi, kemenangan besar ke atas Mongolia menaikkan semangat pemain, namun menentang Thailand di halaman sendiri semestinya lebih getir kerana lawan memiliki reputasi dan sokongan padu penyokong. Justeru, beliau menegaskan keperluan untuk para pemain lebih bijak menggunakan peluang di depan gol dan mengurangkan kesilapan kecil yang boleh dihukum pasukan lawan.

Selain itu, Nafuzi percaya kekuatan mental dan daya tahan akan memainkan peranan penting sekiranya hujan kembali mewarnai perlawanan malam esok. “Apa yang penting, kita perlu fokus pada misi utama iaitu menang. Hanya kemenangan sahaja yang akan membuka laluan buat kita mara,” tambahnya dengan penuh keyakinan.

Perlawanan Malaysia menentang Thailand dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam waktu Malaysia, dengan skuad muda negara perlu menampilkan aksi terbaik jika mahu ke Piala Asia B-23.