PASUKAN Harimau Malaya akhirnya berjaya menamatkan penantian 24 tahun untuk menewaskan Palestin selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Aksi bermula penuh bertenaga apabila Joao Figueiredo membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi penyudah mudah menewaskan penjaga gol Palestin. Gol itu turut mencipta sejarah apabila beliau menjadi pemain Malaysia pertama menjaringkan gol ke atas Palestin sejak Mac 2001.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Palestin cuba bangkit memburu gol penyamaan. Penyerang Petrojet, Bader Mousa hampir berjaya menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-26 namun percubaannya digagalkan. Beberapa minit kemudian, giliran Hamadeh pula menafikan percubaan Gabriel Palmero selepas menerima hantaran Quentin Cheng.

Babak kedua menyaksikan Palestin terus mencari ruang untuk kembali ke dalam permainan, manakala Harimau Malaya cuba menambah jaringan. Arif Aiman hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-50 tetapi diselamatkan Rami, sebelum Wessam Abou Ali pula diuji Syihan Hazmi yang cemerlang di gawang.

Cklamovski turut memberi ruang kepada muka baharu, Richard Chin, untuk merasai debut antarabangsa apabila dimasukkan menggantikan Quentin Cheng pada minit ke-80. Walaupun Palestin cuba mengasak sehingga wisel penamat, Malaysia kekal bertahan memastikan keputusan 1-0 berpihak kepada tuan rumah.

 

Kemenangan bersejarah ini bukan sahaja memanjangkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan di bawah Cklamovski, malah dijangka melonjakkan ranking FIFA Malaysia menghampiri kelompok 120 terbaik dunia.

Ia hadir tepat pada masanya bagi menyuntik semangat Harimau Malaya menjelang sambungan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober nanti.

FOTO: IZAAN FIRDAUS