TONGGAK pertahanan Sabah FC, Daniel Ting dengan senang hati jika diletakkan di posisi bek kanan sejurus mengambil alih tugasan yang ditinggalkan oleh Matthew Davies dalam skuad kebangsaan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyisihkan dua pemain kebangsaan, Matthew Davies dan Junior Eldstal hari ini menyaksikan keseluruhan 24 pemain Harimau Malaya diterbangkan ke Muscat bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman.
Perkembangan ini ekali gus memberi bayangan besar bahawa watak sisi pertahanan kanan akan diberikan kepada Daniel, dengan sokongan dari muka baharu Harimau Malaya, Azam Azmi Murad.
Daniel turut mengakui bahawa dirinya bakal berdepan dengan satu cabaran besar, namun tetap yakin dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberi sebaik mungkin.
“Jika itu yang dikehendaki jurulatih (Kim Pan-gon), itu tidak menjadi masalah. Saya juga pernah bermain di posisi itu sebelum ini, jadi saya bersedia melakukan apa sahaja yang diarahkan.
“Saya juga rasa bek kiri itu bukan posisi sebenar saya, tetapi saya tetap gembira dapat menjalankan apa jua perkara yang diminta oleh jurulatih,” katanya kepada pengamal media sebelum berangkat ke Oman pada pagi Ahad.
Terdahulu, Daniel juga pernah beraksi di posisi bahagian kanan ketika berdepan dengan pasukan Korea Selatan di saingan Piala Asia yang berlangsung pada Januari lalu.
Jadi, sudah tentu tidak menjadi sebarang masalah buat Daniel untuk mengadaptasi corak permainan di posisi tersebut sejurus menampilkan momentum terbaik pada kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung pada 22 Mac hadapan.