SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi garang apabila membelasah Penang FC 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim sekali gus mengutip tiga mata penuh pada perlawanan kelima musim 2025-2026.

Jairo Da Silva membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan sebelum kapten muda, Arif Aiman menambah dua gol pantas pada minit ke-18 dan 32 bagi meletakkan Harimau Selatan selesa di depan.

Joao Figueiredo turut mencatat nama sebagai penjaring selepas mengambil kesempatan daripada kesilapan mudah penjaga gol Penang, Khairulazhan Khalid pada minit ke-33, disusuli gol Jon Irazabal pada waktu kecederaan separuh masa pertama untuk memastikan JDT mendahului 5-0 sebelum rehat.

Memasuki babak kedua, Antonio Glauder menambah derita skuad Harimau Kumbang dengan gol keenam pada minit ke-52, sekali gus menutup terus peluang kebangkitan pasukan pelawat.

Sepanjang perlawanan, JDT jelas menguasai permainan dengan asakan bertali arus dan penguasaan bola yang tinggi, manakala Penang gagal mencari rentak untuk memberi tentangan bermakna.

Kemenangan besar ini bukan sahaja mengekalkan reputasi JDT sebagai pencabar utama kejuaraan, malah mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Super musim baharu.