HARAPAN Mohamad Shah Firdaus Sahrom untuk menggegar Kejohanan Dunia di Santiago bulan depan, berkecai gara-gara kecederaan lutut yang masih belum pulih sepenuhnya.

Segalanya bermula Februari lalu apabila tendonitis menyerang lututnya ketika sesi latihan kekuatan, namun semangat juangnya masih membara hingga berjaya meraih emas keirin di Piala Negara-Negara UCI di Turkiye, Mac lalu.

Shah Firdaus terlibat kemalangan pada Sukan Olimpik Paris.

Begitupun, kegemilangan itu hanya sementara apabila pengarah teknikal trek negara, John Beasley mengesahkan Shah Firdaus perlu berehat panjang sehingga Mac 2026.

“Tiada Kejohanan Dunia untuk Shah, tapi kami lega lututnya mula memberi respons positif selepas rawatan sel stem minggu lalu,” kata Beasley, kedengaran lega kecederaan itu menampakkan pemulihan positif.

John Beasley gembira kecederaan lutut Shah Firdaus menunjukkan kemajuan namun tidak sempat untuk pulih menjelang Kejohanan Dunia di Santiago.

Katanya, Shah Firdaus kini hanya berada pada tahap 60 peratus kecergasan selepas enam bulan hilang latihan, sekali gus memerlukan proses membina semula dari bawah.

Ini bukan kali pertama Shah Firdaus diuji, malah pelumba dari Muar, Johor itu sudah beberapa kali terbarai krmalangan di trek termasuk Olimpik Tokyo 2020, Paris 2024 dan Kejohanan Asia 2023 di Nilai.

Shah Firdaus ketika kemalangan di Sukan Olimpik Tokyo. | FOTO BERNAMA

Ketika dilihat sebagai pewaris semula jadi legenda Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus bakal mencecah usia 30 tahun November ini namun dibayangi konsistensi yang mampu menjadi penghalang utama kariernya.

“Dia kecewa terpaksa melupakan Kejohanan Dunia, tapi kami percaya tahun depan Shah akan kembali lebih garang ketika kelayakan Olimpik bermula,” ujar Beasley.