“SAYA percaya dengan RM4 awak tak boleh dapat makan ‘lamb shank’. Awak ada duit, awak ada kualiti.”
Itu penjelasan Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC Azzmi Aziz mengenai jurang ketara pemain import yang dimilikinya jika dibandingkan dengan kelab lain yang berbelanja besar musim ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan skuad kendaliannya tewas 2-1 di tangan PDRM FC meskipun mendahului 1-0 pada separuh masa pertama dalam aksi Liga Super di laman sendiri.
Azzmi percaya anak buahnya telah mempamerkan banyak peningkatan dalam permainan jika di ambil kira prestasi di awal musim namun itu belum cukup untuk mereka mengelak daripada menerima kekalahan ketiga berturut-turut.

Negeri Sembilan FC tewas 2-1 kepada PDRM FC semalam.
“Dengan apa yang kita bayar (pemain import) itu yang kita dapat, saya percaya 4 ringgit awak tak boleh dapat makan ‘lamb shank’. ‘Quality money’, awak ada duit awak ada kualiti, saya percaya jika tidak ada duit, awak kena kena ambil masa untuk membentuk pemain di mana saya tahu semua orang tak suka ambil masa.
“Kita nampak pada babak pertama kita bermain lebih baik tapi kita kena fokus selama 90 minit, kesilapan sendiri bila kita tak fokus. Kita sudah banyak meningkat tapi masih belum cukup.
“Kita percaya kekurangan kualiti dalam pasukan, kita telah mencuba dan kita tak nak salahkan sesiapa kerana mereka telah berusaha keras. Kita ada progres kerana kalau kita lihat statistik lawan Sabah FC lebih baik, Terengganu FC juga sama dari segi pergerakan, mencipta peluang tapi masih tidak cukup,” katanya.
Dengan kekalahan terbaharu itu, Negeri Sembilan kini menduduki tangga ke-12 liga, berkongsi tiga mata dengan pasukan di tangga tercorot Kelantan Darul Naim FC selepas tujuh perlawanan.

Azzmi Aziz, ketua jurulatih Negeri Sembilan FC.
Menurut Azzmi, beliau menyerah segala keputusan kepada pihak pengurusan untuk melakukan rombakan pasukan pada jendela perpindahan bulan ini termasuk mengenai kedudukannya.
“Saya profesional, tak ada isu dan saya ambil tanggungjawab sepenuhnya jaga pasukan. Saya tak salahkan siapa-siapa, apa pun keputusan adalah pihak pengurusan.
“Ada beberapa nama (pemain baharu) dalam perancangan, saya dah bercakap dengan pihak pengurusan, tapi ini semua bergantung pada bajet. Penambahan kena berlaku kalau kita nak lebih baik.
“Semua pasukan meningkat, ada pasukan akan menukar pemain baharu jadi kita kena lebih baik, sukar nak dapat keputusan lebih baik jika tak ada penambahan pemain baharu,” katanya.