MALAYSIAN Football League (MFL) menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-15 yang berlangsung baru-baru ini mengumumkan hukuman penggantungan dan denda terhadap tiga kelab iaitu Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC.
Keputusan itu dibuat selepas Sri Pahang menarik diri daripada saingan Liga Malaysia, manakala Kedah Darul Aman FC dan Perak FC pula gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025/26.
Menurut Perlembagaan MFL, mana-mana kelab yang menarik diri atau gagal memenuhi syarat pendaftaran tidak akan menerima sebarang manfaat daripada liga serta disekat daripada terlibat dalam aktiviti bola sepak di bawah MFL.
Sri Pahang FC digantung daripada semua pertandingan anjuran MFL selama satu musim bermula 2025/26, sekali gus menyaksikan skuad Tok Gajah tidak akan beraksi dalam sebarang kejohanan domestik di bawah seliaan badan liga tersebut.
Bagi Kedah Darul Aman FC dan Perak FC, kedua-duanya menerima hukuman lebih berat apabila digantung selama dua musim, bermula musim 2025/26 hingga 2026/27.
Keputusan itu dibuat setelah kegagalan kedua-dua pasukan tersebut memperoleh Lesen Kebangsaan yang menjadi syarat wajib penyertaan dalam Liga Malaysia.
Selain penggantungan, MFL turut mengenakan penalti kewangan apabila ketiga-tiga kelab berkenaan kehilangan hak ke atas wang agihan merit selepas berakhirnya saingan Liga Malaysia 2024/25, selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan MFL.
MFL dalam kenyataannya menegaskan bahawa tindakan tegas ini diambil bagi memastikan semua Rakan Kongsi Liga mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan serta untuk menjaga integriti saingan Liga Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.
Penggantungan tiga kelab bersejarah ini dijangka memberi kesan besar terhadap perjalanan Liga Malaysia musim depan, bukan sahaja dari sudut penyertaan pasukan malah juga dalam aspek sokongan penyokong serta landskap bola sepak tempatan.
Foto: Media sosial MFL