KEHANGATAN semakin terasa tatkala tinggal satu hari sahaja lagi sebelum bermulanya pusingan kelayakan Piala Asia Futsal Indonesia 2026, di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan.
Skuad kebangsaan Harimau Malaya akan berentap bersama-sama gergasi Asia, Iran, UAE dan Bangladesh untuk memburu tiket ke Jakarta seterusnya menoktahkan penantian lapan tahun bermain di pentas Asia.
Tonggak skuad negara, Harith Naim Mohd Nasir berkata peluang Malaysia lolos sebagai satu daripada 15 pasukan terbaik di pusingan kelayakan adalah cukup tinggi, sambil menekankan pentingnya untuk bermula dengan langkah kanan apabila turun berdepan UAE Sabtu ini.
“Saya yakin menang dua aksi pembukaan, terutama ke atas UAE akan menjadi faktor penentu peluang kita. Jadi, kita perlu all-out untuk meraih mata maksimum, tidak boleh ada istilah lambat panas.
“Kelebihan UAE adalah pada fizikal, dari segi kekuatan kita agak seimbang dan boleh menyaingi mereka.
“Tambahan kita bermain di depan penyokong sendiri. Kelebihan-kelebihan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan besar harapan agar penyokong akan hadir membanjiri SUKPA dan mengiringi perjuangan kami bersama-sama,” ujar pemain berusia 25 tahun itu.
Harith Naim yang telah bersama skuad kebangsaan sejak 2017, turut mengakui persefahaman antara pemain bertambah baik meskipun berlatih bersama cuma kira-kira tiga minggu.
“Segalanya lancar, pemain juga memahami apa yang coach mahukan. Kami sudah bersedia, tekad membawa Harimau Malaya berada di kelompok 16 terbaik Asia. Kami tidak mahu mengecewakan penyokong,” ujar bintang Pahang Rangers itu lagi.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia adalah pada edisi 2018 di Taiwan.
SUUMBER: Muhammad Aiman