PENGENDALI skuad B-23 negara, Nafuzi Zain menyifatkan undian menentang Vietnam dalam Kumpulan B Sukan SEA 2025 sebagai satu cabaran getir, namun tetap percaya anak buahnya mampu memberi saingan sengit kepada juara Piala Mandiri 2025 itu.
Malaysia diundi bersama Vietnam dan Laos dalam kumpulan tersebut, dan laluan ke separuh akhir dilihat tidak mudah apatah lagi Vietnam kini berada pada prestasi terbaik selepas muncul juara serantau serta layak ke Piala Asia B-23.
“Apa yang saya nampak, kita bukan berada dalam kumpulan yang mudah. Bagi saya, laluan ini sukar dan mencabar,” jelas Nafuzi yang menganggap pertemuan dengan Vietnam bakal menjadi kayu pengukur sebenar kemampuan skuad muda negara.
Bagaimanapun, beliau optimis corak permainan kedua-dua pasukan tidak jauh berbeza, sekali gus memberi ruang untuk Malaysia tampil berani mencabar gergasi Asia Tenggara itu.
“Kalau kita tengok Vietnam yang menjuarai Piala Mandiri di Jakarta dan layak ke Piala Asia, saya nampak dari segi permainan kita boleh memberi saingan. Perbezaannya tidak begitu ketara,” katanya.
Tambahnya lagi, apa yang lebih penting adalah memastikan kesilapan mudah dapat dielak, terutama ketika bertemu pasukan berkualiti seperti Vietnam, Indonesia atau Thailand.
“Dengan pemain-pemain yang kita ada, saya harap Vietnam juga tidak akan mudah menangani kita. Tapi kita kena belajar elak kesilapan yang pernah dilakukan dan gunakan peluang yang ada sebaiknya,” tegasnya.
Tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir, dan skuad negara kini berazam untuk menebus kekecewaan edisi 2023 dengan sasaran layak ke podium kali ini.