PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Etika Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA) berkuat kuasa 22 Oktober 2025.
Menurut kenyataan MOM hari ini, pelantikan itu diperkenankan oleh DYAM Putera Abdulaziz Bin Turki Al-Faisal, Presiden ISSA yang juga Menteri Sukan serta Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi.
ISSA merupakan sebuah pertubuhan sukan antarabangsa di bawah naungan Organization of Islamic Cooperation (OIC) yang ditubuhkan pada tahun 1985 bagi memupuk perpaduan dan kerjasama antara negara Islam melalui sukan, selain memperkukuh pembangunan dan integriti sukan di dunia Islam.
Suruhanjaya Etika ISSA ditubuhkan bagi menyelia dan memantau hal berkaitan etika, tatakelakuan serta tadbir urus sukan dalam kalangan negara anggota, selaras dengan matlamat untuk memperkukuh Pergerakan Sukan Islam (Islamic Sports Movement) dan penganjuran Islamic Solidarity Games yang disertai oleh 57 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC).

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengadakan pertemuan khas dengan DYAM Putera Abdulaziz Bin Turki Al-Faisal di Pulau Amwaj, Bahrain semalam. (Sumber Gambar: MOM)
Tan Sri Mohamad Norza, yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara, Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dilantik berdasarkan pengalaman luas beliau dalam kepimpinan dan tadbir urus sukan di peringkat serantau serta antarabangsa.
Beliau akan dibantu oleh dua tokoh antarabangsa, Dr. Boubakari Maiga, Ketua Jabatan Belia dan Sukan OIC, serta TYT Shaikha Dr. Hussa Bint Khalid Al-Khalifa, Ahli Lembaga Pengarah Jawatankuasa Olimpik Bahrain.
Pelantikan ini disifatkan sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan Malaysia dalam arena sukan antarabangsa serta komitmen Tan Sri Mohamad Norza dalam memperkukuh prinsip etika dan integriti dalam pembangunan sukan dunia Islam.