PENOLONG pengurus Terengganu Hockey Team (THT), Wan Mohd Hazrul Wan Nawi optimis dengan persiapan pasukan menjelang musim baharu selepas menjalani latihan intensif lebih sebulan bersama barisan pemain baharu.

Menurutnya, skuad kali ini menampilkan beberapa muka muda yang diserap masuk bagi memperkuatkan pasukan selain membina kombinasi lebih segar dan fokus utama ketika ini adalah membentuk keserasian antara pemain baharu dan lama bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang aksi pembukaan.

Beliau menegaskan THT tetap memasang sasaran tinggi untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih musim ini dan sebagai persiapan, pasukan telah mengatur beberapa aksi persahabatan termasuk menentang ATM dan Pahang yang disifatkan memberi petanda positif.

Walaupun prestasi dalam aksi pemanas badan memberangsangkan, beliau mengingatkan pemain agar membuktikan kemampuan sebenar dalam perlawanan kompetitif nanti.

“Kami sedikit terjejas di bahagian depan dengan ketiadaan Akhimullah jadi kami ambil pemain import untuk menampung kehilangannya dan sudah sebulan kami menjalani beberapa muka baru dipersiapkan,” tambah beliau.

Namun, pihak kejurulatihan bertindak pantas dengan membawa masuk beberapa pemain baharu bagi mengisi kekosongan terutama di jentera hadapa dan antara pemain yang diberi perhatian termasuk muka baharu seperti Keena Horne dan pemain muda dari India, Dilraj Singh yang dilihat berpotensi tinggi.

Dilraj yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia Hoki Remaja dijangka mampu memberikan impak serta menambah variasi dalam corak permainan pasukan.

Walaupun masih dalam proses penyesuaian, jurulatih yakin gabungan pemain sedia ada dan baharu mampu membentuk skuad kompetitif musim ini.

Dengan persiapan rapi serta pendekatan berani mengetengahkan bakat muda, THT dilihat bersedia untuk sekali lagi mencabar kejuaraan dalam saingan domestik.