Kredit Gambar: FIH
The Speedy Tigers bertekad untuk bangkit menebus kekecewaan tewas kepada Jerman semalam menjelang aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia 2026 menentang Perancis di Arena Hoki Belfius malam ini.
Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Brendon Carolan percaya ia tetap bukan satu tugas yang mudah memandangkan Perancis berjaya memberikan tentangan sengit kepada Belgium meskipun akhirnya tewas 2-3 kelmarin.
Disebabkan itu, beliau kini memberikan fokus untuk memperbaiki permulaan yang perlahan seperti berlaku menentang Jerman kerana ia sedikit sebanyak mampu memberi kesan apabila menentang pasukan-pasukan terbaik dunia.
“Seperti yang anda tahu, Perancis adalah pasukan yang hebat. Mereka memberikan saingan sengit kepada Belgium sehingga 10 minit terakhir. Mereka kini dalam Pro League, jadi sememangnya pasukan yang sangat berkualiti.
“Mereka mendahului 2-0 sebelum Belgium bangkit menerusi beberapa pukulan sudut penalti di saat akhir. Jadi kami perlu tampil lebih baik berbanding kelmarin dan ia akan menjadi cabaran yang besar,” katanya.
Berdasarkan tujuh rekod pertemuan, peluang dilihat seimbang buat kedua-dua pasukan dengan Malaysia mencatat tiga kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan sejak kali pertama bertemu pada Sukan Olimpik 1968.
Biarpun tewas 1-3 dalam pertemuan terakhir dengan Perancis ketika Piala Negara-Negara 2023-2024, namun Speedy Tigers juga pernah menewaskan pasukan No.9 dunia itu iaitu 4-1 pada Semi Final Liga Dunia 2015.
Carolan pastinya mengharapkan peningkatan daripada anak-anak buahnya kerana ia amat penting sebagai persediaan akhir sebelum mereka turun berjuang di Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober nanti.