PASUKAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) ThunderStars memberi bayangan merampas gelaran treble daripada Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 yang akan mula berlangsung Sabtu ini.

Ketua Jurulatih TNB, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor berkata pasukannya optimis untuk merampas takhta tersebut kerana dibarisi 16 pemain kebangsaan dalam pasukan.

“Ya, tahun ini adalah jumlah tertinggi kita mempunyai 16 pemain berstatus pemain kebangsaan. Sebelum ini kita ada 12,” kata beliau dalam sidang media sempena pembukaan TNB MHL 2026.

TNB ThunderStars akan menentang musuh utama, THT pada Sabtu ini dalam aksi Piala Sumbangsih bagi membuka tirai MHL 2026.

“Persiapan kita dah mula dari awal Januari bagi saingan liga dan untuk perlawanan Sabtu ini, pemain sudah bersedia 100%.

“Pemain akan tunjuk karakter mereka atas padang pada perlawanan Sabtu ini,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Jurulatih TNB ThunderStars turut bersetuju dengan langkah Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang membenarkan maksimum tiga pemain import sahaja.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai langkah positif, kerana ia membuka peluang kepada pemain tempatan untuk lebih menyerlah dalam saingan MHL 2026.

Dengan kekuatan skuad yang dimiliki, TNB ThunderStars kini dilihat bersedia untuk mencabar dominasi THT dan mencipta sejarah tersendiri dalam saingan MHL 2026.