Kredit Gambar: Asian Hockey Federation

Impian Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan untuk melangkah ke separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China terus berada di landasan tepat susulan kemenangan kedua semalam.

Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan prestasi dalam kemenangan 4-2 ke atas Bangladesh hari ini jauh lebih baik jika dibandingkan ketika menewaskan Kazakhstan 8-0 dalam aksi pertama.

“Kita masih ada buat kesilapan di depan gol, banyak sia-siakan peluang tetapi apa yang baiknya adalah kita meningkat dari setiap satu perlawanan. Hari ini kita dapat jaringkan empat gol.

“Bangladesh bagus dari segi serang balas dan pukulan sudut penalti (PC). Apa yang baik hari ini adalah kita dapat tutup kelebihan mereka,” katanya.

Ia sekali gus meningkatkan motivasi barisan pemain muda sebelum menghadapi dua aksi terakhir Kumpulan B selepas ini iaitu Pakistan esok dan tuan rumah China pada Rabu ini.

“Untuk kita, Pakistan antara pasukan yang cukup kuat. Kita kena tahu bagaimana untuk bermain taktikal untuk menangani kekuatan mereka dan saya percaya kita mampu bermain dengan lebih baik lagi.

“Kita nak pergi ke separuh akhir. Jadi kita kena menang lawan Pakistan dan China kerana itu antara sasaran kita untuk kejohanan ini,” jelas Nor Saiful.

Young Tigers bermula cukup positif dengan mendahului dua gol hasil jaringan PC daripada Dheeressh Gunaseelan pada minit ke-21 dan gol padang Shelston Silverius dua minit kemudian.

Namun, Bangladesh bangkit mengikat kedudukan 2-2 hasil dua jaringan padang Md Abdullah dan Hassan Mahadey pada minit ke-24 serta 33.

Penyerang Young Tigers, Shafiq Ammar Fahmi Suzaini muncul wira apabila meledak dua gol pantas dalam tempoh tiga minit pada minit ke-48 dan 51 untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 4-2, sekali gus dinobatkan sebagai pemain terbaik aksi itu.

Selepas dua perlawanan, Young Tigers kini di kedudukan kedua Kumpulan B, dibezakan jumlah perbezaan gol dengan Pakistan di tangga teratas.