KEMENANGAN besar 7-1 Malaysia ke atas Chile cukup meyakinkan, sehingga ketua jurulatih Muhammad Amin Rahim agak pasti, pemainnya memiliki kemampuan untuk mengatasi juara bertahan Piala Dunia Remaja, Argentina, esok.
Begitupun, dalam tempoh kurang 24 jam menjelang perlawanan kedua kumpulan A esok, Amin dan barisan kejurulatihan mempunyai banyak kerja rumah yang perlu disiapkan, bagi memberikan input berguna buat Young Tigers.
“Kemenangan hari ini, kekuatan yang pemain tunjukkan hanyalah 40 hingga 50 peratus, selebihnya sumbangan kesilapan pemain Chile.
“Tetapi apa yang pemain saya tunjukkan pada perlawanan ini, saya yakin mereka ada keupayaan untuk mengatasi Argentina.
“Hormat tu kena hormat kerana mereka juara bertahan, tapi tak perlu hormat sangat. Pasukan mereka sekarang tidak sekuat pasukan juara di Bhubaneswar, di India dua tahun lalu,” kata Amin, dalam sidang media selepas tamat perlawanan.
Perlawanan yang disaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu menyaksikan Shahmie Irfan Suhaimi meledak dua gol, manakala lima lagi gol dijaringkan Harris Iskandar Osman, Danish Aiman, Andywalfian Jeffrynus, Almilmuizzuddin Misron dan Shamir Rizmi, manakala gol Chile dijaringkan sebastian Wolansky.
Sementara itu, Shahmie menganggap ketenangannya di atas padang dibantu pengalaman beraksi di Piala Dunia bersama skuad senior, selain kerap dipanggil menyertai pasukan bimbingan A.Arulselvaraj.
“Pada perlawanan malam ini, saya anggap seperti latihan, buat macam biasa, memanaskan badan dan apabila perlawanan bermula, saya all out.
“Seperti mengambil pukulan sudut, saya hanya melakukannya jika berasa yakin, jika ragu-ragu saya tak akan mengambil peranan itu,” kata Shahmie.