PASUKAN Young Tigers memperoleh kemenangan kedua dalam kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja 2025 selepas menumpaskan Switzerland 7-3 dalam perlawanan klasifikasi tempat ke 13 hingga 16 sebentar tadi.
Anak buah Nor Saiful Zaini menampilkan aksi yang garang sepanjang perlawanan sekaligus menyekat hasrat pasukan Swiss daripada mara ke kedudukan yang lebih baik dalam debut mereka di kejohanan ini.
Malaysia mendahului perlawanan seawal minit ke-5 apabila Muhammad Aqil Danial menjaringkan gol hasil pukulan sudut penalti sebelum Azimuddin Syakir menambah jaringan seminit kemudian melalui pukulan sudut penalti.

Switzerland merapatkan jurang apabila Jens Fluck menjaringkan gol pukulan sudut penalti pada minit ke-13 namun suku kedua menyaksikan Malaysia menambah dua jaringan lagi menerusi penalti stroke oleh Harris Iskandar (19′) dan gol padang oleh Rahul Fazrien pada minit ke-21.
Pasukan lawan sekali lagi merapatkan jurang apabila Leonard Kraxner dan Jens Fluck menjaringkan gol pada minit ke-32 dan 53.

Azimuddin Syakir menjaringkan dua gol pada perlawanan hari ini.
Young Tigers terus mengganas apabila Azimuddin Syakir (37′), Muhammad Aqil Danial (43′) dan kapten pasukan Danish Aiman (46′) menjaringkan gol buat pasukan muda negara.
Malaysia akan berjumpa Jepun bagi klasifikasi tempat ke-13 dan 14 pada Selasa ini jam 3 petang di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan.