TERENGGANU Turtles menamatkan kempen STL Division 1 2026 di tempat ketiga selepas menewaskan Sabah Mountaineers 2-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini.

Skuad kendalian Mohd Futra tampil pada musim pertama di Division 1 selepas tersingkir daripada STL Premier musim lalu berjaya mengakhiri kempen dengan rentak positif menerusi kemenangan 15-11, 15-13 ke atas Sabah.

Terengganu Turtles mempertaruhkan Meor Muhammad Zulfikar selaku tekong, Aidil Aiman di posisi apit kiri merangkap kapten serta pemain import Thailand, Saenkrai Dowrueng, sebagai apit kanan.

Terengganu Turtles berjaya menguasai set pertama dengan lebih kemas untuk mencatat kemenangan 15-11 sebelum Sabah memberikan tentangan lebih sengit pada set kedua.

Sabah yang dibarisi tekong Harry Ulin, apit kiri merangkap kapten Wan Mohammad Zulhakim dan apit kanan import Thailand, Suwicha Tala, cuba mengheret perlawanan ke set penentuan namun Turtles kekal tajam di penghujung permainan untuk menang 15-13.

Kemenangan itu membolehkan Turtles menutup kempen Division 1 di tempat ketiga selepas mengharungi musim pertama di divisyen ini susulan penyingkiran daripada STL Premier musim lalu.

Sabah Mountaineers pula mengulangi pencapaian musim lalu apabila sekali lagi menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas kepada Malaysian University Knights dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada edisi terdahulu.

Sementara itu, tumpuan STL Division 1 2026 malam ini beralih kepada perlawanan akhir antara Bomba Fighters dan Kedah Eagles pada pukul 9.30 malam, dengan kedua-dua pasukan bakal merebut gelaran juara selepas mengesahkan slot ke STL Premier 2026.