KEDAH Eagles menamatkan kempen STL Divisyen 1 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Bomba Fighters 2-1 dalam aksi final untuk muncul juara buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu.
Berlangsung sengit sejak set pertama, Bomba Fighters terlebih dahulu mencuri kelebihan apabila menang 15-13, namun Kedah Eagles bangkit memperkemaskan permainan untuk mengikat kedudukan menerusi kemenangan 15-11 pada set kedua.
Momentum kebangkitan itu diteruskan Kedah Eagles pada set penentuan apabila mereka menguasai permainan sebelum melengkapkan kemenangan 15-8 untuk mengesahkan kejuaraan STL Divisyen 1 musim ini.
Kemenangan bersejarah itu menyaksikan gandingan Zulhusni Basri selaku apit kiri dan kapten, Amar Roslan di posisi tekong serta Hapeesorn Hnahno sebagai apit kanan memainkan peranan penting dalam memastikan Kedah Eagles muncul juara.
Lebih manis, kejayaan tersebut turut membuka laluan buat Kedah Eagles kembali beraksi dalam STL Premier selepas 10 tahun sekali gus memberikan suntikan semangat baharu buat pasukan itu untuk menguji kemampuan mereka di pentas tertinggi sepak takraw negara.
Sementara itu, Bomba Fighters sekali lagi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas turut tewas dalam perlawanan akhir Divisyen 1 pada musim lalu.
Walaupun gagal membawa pulang gelaran, perjuangan Syazreenqamar Salehan, Apinann Promjaree dan Shahrul Ishaqdin tetap membuahkan hasil apabila mereka turut mengesahkan tiket ke STL Premier.
Kejayaan kedua-dua pasukan melayakkan diri ke STL Premier membuktikan persaingan Divisyen 1 terus menjadi platform penting dalam melahirkan pasukan berdaya saing dengan Kedah Eagles kini boleh meraikan kejuaraan sulung mereka sebelum menghadapi cabaran lebih besar pada musim akan datang.