Kredit Gambar: ONE Championship
Petarung Muay Thai sensasi negara, Johan Ghazali, enggan dibayangi kekalahan terdahulu apabila bakal bertemu semula Diego Paez dalam pertarungan kategori terbang pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, Jumaat ini.
Johan, yang mesra dikenali sebagai Jojo, membawa misi membalas kekalahan kepada petarung Colombia-Amerika Syarikat itu selepas tewas menerusi keputusan juri dalam pertemuan pertama mereka pada Jun tahun lalu.
Pertarungan terdahulu menyaksikan kedua-dua petarung berentap sengit sepanjang tiga pusingan sebelum Paez diumumkan sebagai pemenang, sekali gus meraih kemenangan pertamanya dalam saingan ONE Championship.
Namun, keputusan itu tidak menggugat keyakinan Jojo yang kini berusia 19 tahun. Sebaliknya, beliau percaya mampu memberikan cabaran lebih hebat selepas mengenal pasti kelemahan dan aspek yang perlu diperbaiki daripada pertemuan lalu.
Menurut Jojo, beberapa serangan Paez dalam pertarungan pertama tidak benar-benar mengena sasaran, sekali gus membuatkannya yakin peluang untuk mencatat kemenangan pada aksi ulangan masih terbuka.
“Jika diteliti pertarungan sebelum ini, tiada satu pun serangannya benar-benar mengenai sasaran.
“Saya hanya ingat satu tendangan pusing ke belakang yang mengena, tetapi saya terus membalas dengan serangan.
“Saya tahu perkara yang perlu diperbaiki dan sejujurnya, saya tidak pernah lebih yakin daripada sekarang,” katanya kepada laman sesawang rasmi ONE Championship.
Keyakinan Jojo turut disokong prestasi terkininya apabila beliau bangkit daripada kekalahan kepada Paez dengan meraih dua kemenangan berturut-turut ke atas Zakaria El Jamari dan Ye Yint Naung.
Rekod itu menjadi suntikan semangat buat petarung muda berkenaan untuk kembali membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa, selain memburu peluang membalas kekalahan yang masih segar dalam ingatan.
Pertemuan Jumaat ini pastinya menjadi ujian penting buat Jojo untuk menterjemahkan keyakinannya kepada aksi lebih meyakinkan, manakala Paez berpeluang mengulangi kejayaan terdahulu dalam pertembungan yang dijangka berlangsung sengit.