Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Guangzhou, China, bulan depan susulan perubahan jadual yang dimaklumkan Persatuan Bola Sepak China (CFA) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Berdasarkan jadual terkini, Malaysia akan menentang China pada 14 November sebelum berdepan Yemen tiga hari kemudian, iaitu pada 17 November.
Perubahan itu menyaksikan jadual asal perlawanan yang sebelum ini diumumkan bagi 14 dan 17 November dikemas kini, dengan China dan Yemen menjadi dua lawan skuad kebangsaan sepanjang jendela antarabangsa berkenaan.
Mengikut ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terkini, China berada di kedudukan ke-96 dunia, diikuti Malaysia di tangga ke-133 dan Yemen di kedudukan ke-144.
Kedua-dua perlawanan itu penting buat Harimau Malaya untuk mendapatkan pendedahan kompetitif di pentas antarabangsa, selain menguji kemampuan pasukan dalam menghadapi lawan berbeza menjelang tugasan akan datang.