Kredit Gambar: Lillian Suwanrumpha/AFP
HASRAT mengembalikan perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia memasuki fasa penilaian awal apabila kerajaan mula meneliti kebolehlaksanaan penganjuran semula sukan permotoran berprestij itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengadakan perbincangan awal dengan Presiden F1, Stefano Domenicali, mengenai prospek membawa kembali perlumbaan berkenaan ke Malaysia ketika berlangsungnya Grand Prix Bahrain di Sepang baru-baru ini.
Beliau berkata, susulan perbincangan itu, SIC sudah mengemukakan permohonan kepada pihak F1 untuk mendapatkan cadangan kertas kerja bagi membantu penyediaan kajian kebolehlaksanaan penganjuran semula perlumbaan berkenaan.
“YAB Perdana Menteri telah mengadakan perbincangan awal dengan Presiden Formula 1, Stefano Domenicali, berhubung prospek penganjuran semula perlumbaan Formula 1 di Malaysia semasa berlangsungnya kejohanan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 baru-baru ini,” katanya di Dewan Rakyat.
Menurutnya, kerajaan perlu menilai secara menyeluruh kemampuan negara serta manfaat jangka panjang sebelum membuat sebarang keputusan mengenai penganjuran semula kejohanan itu.
“Pertimbangan untuk membawa kembali Formula 1 ke Malaysia memerlukan penilaian menyeluruh terhadap kemampuan negara serta manfaat jangka panjang penganjurannya,” katanya.
Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diberi mandat menganggotai Jawatankuasa Penilaian F1 yang turut melibatkan semua kementerian serta Ketua Setiausaha Negara bagi meneliti pelbagai aspek berkaitan penganjuran.
Penilaian itu, katanya, akan mengambil kira keseimbangan antara komitmen kewangan dengan pulangan ekonomi dan pembangunan sukan, selain kesediaan infrastruktur, pengangkutan awam serta keupayaan pengurusan operasi dan trafik.
“Penilaian ini akan mengambil kira keseimbangan antara komitmen kewangan dengan pulangan ekonomi dan pembangunan sukan, di samping kesediaan infrastruktur, pengangkutan awam serta keupayaan pengurusan operasi dan trafik,” katanya.
Beliau berkata, hasil penilaian berkenaan akan membantu kerajaan menentukan hala tuju penganjuran F1 yang mampan serta mampu memberikan manfaat kepada negara dalam jangka panjang.
“Dapatan tersebut akan membantu kerajaan menentukan hala tuju penganjuran Formula 1 yang mampan dan memberikan manfaat kepada negara,” katanya.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix F1 selama 19 edisi dari 1999 hingga 2017, dengan Litar Antarabangsa Sepang menjadi antara lokasi perlumbaan utama dalam kalendar sukan permotoran dunia.
Bagaimanapun, keputusan untuk mengembalikan perlumbaan itu sebagai acara tetap dalam kalendar antarabangsa masih bergantung pada hasil kajian kebolehlaksanaan dan pertimbangan kerajaan terhadap kos, pulangan ekonomi serta manfaat pembangunan sukan kepada negara.