PEMANDU Aston Martin yang juga juara dunia empat kali, Sebastian Vettel mengumumkan dia akan bersara dari sukan Formula 1 di penghujung musim ini menjelang perlumbaan Grand Prix Hungary hujung minggu ini.
Vettel yang membuat debut bersama pasukan BMW Sauber di Grand Prix Amerika Syarikat pada 2007 membuat pengumuman itu menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram peribadinya.
Pemandu Jerman itu memenangi keempat-empat kejuaraan dunia bersama pasukan Red Bull Racing dari 2010 hingga 2013 dan dia tersenarai sebagai pemandu ketiga yang memenangi Grand Prix terbanyak dengan 53 kemenangan.

Enam tahun bersama Ferrari gagal menghadirkan kejuaraan dunia kelima dan hanya berjaya menaiki podium sebanyak dua kali dalam satu musim setengah bersama pasukan Aston Martin yang mana kontraknya akan berakhir pada hujung musim ini.”
“Keputusan untuk bersara bukanlah satu keputusan yang mudah buat saya dan mengambil banyak masa untuk memikirkan perkara ini. Di penghujung tahun saya ingin mengambil sedikit masa untuk memikirkan apa yang akan saya lakukan selepas ini. Apa yang jelas pada saya sebagai bapa adalah untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga.

“Hari ini bukanlah tentang mengucapkan selamat tinggal. Tetapi ianya lebih kepada mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu karier saya. Tidak lupa juga kepada para peminat kerana tanpa sokongan padu anda, Formula 1 tidak akan wujud,” katanya menerusi video berdurasi empat minit itu.
Pengumuman ini mengejutkan paddock Formula 1 dan beberapa pelumba menggunakan medium media sosial untuk menyatakan sokongan kepada Vettel termasuk rakan baik dan juga seteru utamanya Lewis Hamilton serta pemandu yang menjadikan Vettel idola, Mick Schumacher.

Vettel beraksi selama 15 musim dalam sukan Formula 1 sejak 2007 dan berjaya muncul juara dunia empat kali, memenangi 53 Grand Prix dan122 kali menaiki podium dan tergolong sebagai legenda dalam sukan terpantas ini.