Negeri Sembilan Antlers mengekalkan peluang memburu kedudukan terbaik dalam saingan STL Premier 2026 GP Perak selepas bangkit menewaskan Penang Black Panthers 2-1 dalam aksi Kumpulan D, sekali gus menyingkirkan pasukan itu daripada perebutan tiket ke suku akhir.

Penang bermula cemerlang dengan kemenangan 15-11 pada set pertama, namun Negeri Sembilan memperkemaskan permainan untuk memenangi dua set berikutnya dengan keputusan 15-13, 15-13.

Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan bakal berdepan tuan rumah, Perak Bison, esok dalam aksi penentuan bagi merebut kedudukan juara Kumpulan D.

Bagi Penang, kekalahan tersebut menamatkan peluang mereka untuk mara ke suku akhir GP Perak selepas gagal mempertahankan kelebihan pada set pembukaan.

Sementara itu, PDRM Defenders turut mencatat kemenangan dalam aksi Kumpulan C apabila menewaskan Bomba Fighters 2-0.

PDRM menguasai perlawanan menerusi kemenangan 15-11 dan 15-10 untuk membuka kempen dengan keputusan positif, sekali gus meletakkan mereka dalam persaingan merebut slot ke suku akhir.

PDRM Defenders dijadualkan menentang Selangor Pistons esok dalam perlawanan penting yang boleh mempengaruhi peluang kedua-dua pasukan untuk mara ke suku akhir, dengan perebutan slot dalam Kumpulan C masih terbuka.