MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan penarikan diri atlet triathlon negara, Chong Xian Hao daripada penyertaan dalam Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung mulai 28 Julai hingga 8 Ogos 2022.

Penarikan diri Chong Xian Hao adalah disebabkan kecederaan yang berlaku semasa menjalani sesi latihan persiapan ke Temasya Sukan Komanwel.

“Keputusan penarikan diri tersebut dibuat setelah mendapat pengesahan tahap kecederaan daripada Institut Sukan Negara (ISN),” kata MOM dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebagai rekod, semasa Temasya Sukan Komanwel edisi Gold Coast 2018, Xian Hao telah menamatkan saingan di tempat ke-30 daripada 36 peserta dengan catatan masa 1:04:45s. Catatan peribadi terbaik adalah 1:00:30s

Susulan daripada penarikan dirinya, bilangan atlet dalam Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 adalah seramai 104 orang.

“Pihak MOM berharap agar Chong Xian Hao akan kembali pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kembali beraksi dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.