PENDEKATAN dan keikhlasan Ketua Jurulatih Trek dan Padang Universiti Auburn, Leroy Burrell membuatkan Muhammad Azeem Mohd Fahmi, bersetuju untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi terbabit.
Bapa kepada pelari pecut negara, Mohd Fahmi Tajuid berkata, janji yang dinyatakan Burrell juga membuatkan dia yakin bahawa anaknya itu mempunyai masa depan yang baik dalam sukan.
“Selepas perbincangan dilakukan atas talian sebelum ini, Burrell sentiasa berhubung dengan jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah bagi memantau perkembangannya,” kata Fahmi.
Katanya, kombinasi Burrell dan penolongnya, Ken Harnden membuatkan Azeem lebih tertarik untuk menyertai Universiti Auburn.
Harnden adalah bekas atlet Zimbabwe yang memenangi pingat gangsa acara 400m berhalangan di Sukan Komanwel 1998, yang berlangsung di Kuala Lumpur.
“Kedua-dua jurulatih iaitu Burrell dan Harnden, sangat terbuka. Rupa-rupanya mereka sudah melihat prestasi Azeem menerusi video sejak dia berusia 15 tahun, ketika itu dia mencipta rekod peringkat remaja dalam acara 200m pada 2019.
“Mereka juga bertanyakan pandangan Amir mengenai prestasi dan perkembangan Azeem. Mereka sangat menghormati Amir dan tahu Malaysia ada jurulatih dan atlet yang baik,” kata Fahmi.
Tambahnya, Burrell akan merancang program yang berkesan untuk Azeem, apa yang perlu ditingkatkan dan ditambah baik apabila atlet berusia 18 tahun itu memulakan pengajian dan latihannya di Universiti Auburn nanti.
Sebelum ini, Azeem berteka-teki mengenai pilihan pusat pengajian untuk dia melanjutkan pelajaran dan kini semua terjawab selepas dia memilih Universiti Auburn untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya.
Selepas meraih keputusan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azeem yang berasal dari Ipoh, Perak mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, Ogos lalu.
Pencapaian itu menyaksikan dia menerima beberapa tawaran untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di AS sebelum memilih Universiti Auburn.
Difahamkan, atlet terbabit akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Fisiologi Senaman dan Kinesiologi dengan biasiswa penuh daripada Universiti Auburn.