Kuala Lumpur Thunder mencipta kejutan apabila menewaskan Melaka Titans 2-0 dalam aksi Kumpulan A STL Premier 2026 GP Perak, sekali gus mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan dan tiket ke suku akhir.
Kuala Lumpur mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan Melaka yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan menerusi kemenangan 15-12 dan 15-11.
Kemenangan itu membolehkan Kuala Lumpur menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan teratas, manakala Kelantan Warriors turut melangkah ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan A.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, Negeri Sembilan Antlers mengesahkan status juara kumpulan selepas menewaskan tuan rumah, Perak Bison, 2-1.
Negeri Sembilan menang 15-7 pada set pertama sebelum tewas pada set kedua 11-15 dan mengesahkan kemenangan menerusi keputusan 15-4 pada set penentuan.
Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan menamatkan saingan Kumpulan D sebagai juara, manakala Perak Bison terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Negeri Sembilan mempertaruhkan Hafizul Hayazi di posisi apit kanan, tekong Jepun Daishi Tamaki dan kapten pasukan, Zulefendi Sumari, di posisi apit kiri dalam perlawanan tersebut.
Kini, lapan pasukan akan memberikan tumpuan kepada aksi suku akhir esok dalam usaha meneruskan cabaran memburu kejuaraan GP Perak.