JERSI Malaysia menjadi simbol penghormatan terakhir buat mendiang Yap Shing Xuen yang diserahkan Menteri Belia dan Sukan di tempat persemadian atlet muda itu semalam.
Hannah berkata, jersi Team MAS itu melambangkan semangat kesukanan dan cinta mendiang terhadap sukan, khususnya bola tampar yang amat digemari Shing Xuen.
Beliau yang hadir memberi penghormatan terakhir turut menyampaikan rasa simpati mendalam kepada ibu mendiang, Lee Ping, serta keluarga yang kehilangan insan kesayangan dalam tragedi menyayat hati itu.
Hannah turut berkongsi bahawa Lee Ping percaya Shing Xuen pasti menyukai jersi berkenaan kerana anaknya itu sentiasa bersemangat apabila berbicara mengenai pasukan kebangsaan.

Katanya, semangat dan keceriaan Shing Xuen akan terus diingati sebagai inspirasi buat remaja lain untuk menjalani kehidupan aktif dan positif.
“Malaysia turut berduka bersama keluarga ini dan kami mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya.
Dalam masa sama, Hannah menegaskan komitmennya untuk memerangi budaya incel, iaitu fahaman kebencian dan rasa kecewa diri yang boleh mendorong tindakan melampau terhadap wanita, bagi melindungi generasi muda negara.
Untuk rekod, Shing Xuen, 16, terbunuh dalam insiden melibatkan seorang lago remaja di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.