Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Young Tigers, mengakhiri aksi pusingan liga Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 dengan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Kanada untuk menyemarakkan misi memburu kejuaraan menjelang perlawanan akhir esok.
Malaysia bakal berdepan Pakistan pada jam 8.05 malam dalam usaha menamatkan penantian panjang untuk kembali menjulang trofi kejohanan berprestij bawah 21 tahun itu.
Kali terakhir Malaysia muncul juara adalah pada edisi sulung 2011 apabila menewaskan Australia selepas masa tambahan. Young Tigers kemudian kembali ke final pada 2013, namun tewas 0-3 kepada India.
Dalam aksi menentang Kanada, Malaysia dikejutkan dengan jaringan Navdip Chandi pada minit kelima sebelum Hafiezuddin Mohd Ali menyamakan kedudukan dua minit kemudian.
Naaveenesh Panicker meletakkan Malaysia di hadapan menerusi gol padang pada minit ke-15, diikuti jaringan pukulan sudut penalti Faiz Afzan pada minit ke-22 untuk memberikan kelebihan 3-1.
Rahuul Fazrien menambah jaringan pada minit ke-30 sebelum Dheeressh Gunaseelan dan Safwan Salihe masing-masing menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41 dan ke-45 untuk melengkapkan kemenangan 6-1.
Kemenangan itu menjadi persiapan terakhir yang positif buat Young Tigers sebelum menghadapi Pakistan dalam perlawanan akhir, dengan peluang untuk kembali menjulang trofi selepas 15 tahun menjadi motivasi tambahan buat skuad negara.
Kini, tumpuan terarah kepada aksi kemuncak esok apabila Malaysia berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2011 dan mencipta sejarah baharu di hadapan penyokong sendiri.