Johor Tigris mencipta kejutan dalam saingan suku akhir STL Premier 2026 Grand Prix (GP) Perak apabila menyingkirkan Negeri Sembilan Antlers 2-1 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir, hari ini.

Johor memenangi set pertama 17-15 sebelum Negeri Sembilan bangkit mengikat kedudukan menerusi kemenangan 17-15 pada set kedua. Bagaimanapun, Johor kembali menguasai permainan dalam set penentuan untuk menang 15-8.

Johor mempertaruhkan Nattapong Kotchapaksari di posisi apit kanan, Zuhri Muhd Zin sebagai tekong dan Lutfil Hadi selaku apit kiri merangkap kapten pasukan dalam perlawanan tersebut.

Negeri Sembilan pula menurunkan Hafizul Hayazi, Haziq Hairul Nizam dan kapten pasukan, Zulefendi Sumari, namun gagal mengekang kebangkitan Johor dalam set ketiga.

Johor Tigris kini menunggu pemenang pertembungan antara PDRM Defenders dan Kelantan Warriors untuk menentukan lawan mereka di separuh akhir GP Perak.

Dalam satu lagi aksi suku akhir, ATM Guardians turut menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan Bomba Fighters 2-0.

ATM mempamerkan aksi konsisten untuk memenangi kedua-dua set dengan keputusan 15-10, 15-10 sekali gus menamatkan cabaran Bomba dalam saingan GP Perak.

ATM menurunkan Adli Abu Bakar di posisi apit kanan, Muhd Fahmi sebagai tekong dan kapten pasukan, Afifuddin Razali, di posisi apit kiri untuk memastikan kemenangan tersebut.

Bomba Fighters yang mempertaruhkan Shahrul Ishaqdin, Apinann Promjaree dan kapten pasukan, Mohd Syazreenqamar, gagal mencari jalan untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke set ketiga.

ATM Guardians kini menanti pemenang pertembungan antara Kuala Lumpur Thunder dan Perak Bison bagi menentukan lawan mereka di separuh akhir GP Perak.