MAJLIS perkahwinan yang sedang berlangsung tidak menghalang pemain bola jaring Kedah Sunshine, Siti Aishah Abdul Rahim untuk membantu pasukannya beraksi dalam Netball Super League (NSL) 2022 hujung minggu lalu.

Sebaik sahaja selesai majlis, Aisyah terus bergegas ke Stadium Juara, Bukit Kiara selepas selesai majlis resepsi pengantin lelaki di Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk turut berada dalam skuad ketika menumpaskan Melaka Mystic untuk kemenangan pertama Kedah Sunshine.

Aishah mendirikan rumah tangga bersama pasangannya , Muhammad Suhairi Sulaiman yang juga pemain Putrajaya Cyborg dalam Sepak Takraw League (STL) pada 20 Mei lalu di Padang Serai, Kedah dengan resepsi pengantin perempuan diadakan pada 21 Mei di Bukit Mertajam.

Bermain di posisi penyerang gol, Aisyah bukanlah orang baharu dalam sukan bola jaring dengan sudah 15 tahun berkecimpung dan berharap agar pasukannya dapat bermain dengan baik dan lebih menonjol pada perlawanan akan datang.

Pemain yang bergelar guru ini juga memberitahu, tugasnya sebagai ejen perubah untuk memupuk minat para pelajar sekolah untuk menceburi sukan ini dengan menunjukkan nilai-nilai positif ketika permainan dalam temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.

“Terima kasih atas ucapan tahniah. Memang betul saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai majlis resepsi pengantin lelaki di Kuala Pilah untuk bersama-sama pasukan bagi menghadapi Melaka Mystic.

“Walaupun turun dengan pemain junior, tetapi saya yakin semua pemain Kedah Sunshine mampu memberikan saingan kepada pihak lawan. Saya juga mahukan pasukan Kedah lebih menampilkan aksi lebih baik dan lebih menonjol dalam perlawanan akan datang.

“Sebagai seorang guru, perkara asas dalam meningkatkan keinginan seseorang untuk bersukan ialah dengan cara memberi mereka peluang untuk memilih sukan yang mereka minat. Saya akan kenalpasti bakat baru di peringat sekolah supaya mereka akan di dedahkan dengan persekitaran bola jaring.

“Selepas itu saya akan beri ruang untuk mereka cuba bermain dan melalui cara itu, saya dapat melahirkan bakat baru dari akar umbi.

“Sebagai seorang guru juga, ‘role model’ itu penting di mana guru berperanan sebagai ejen pengubah bagi murid yang baru berkecimpung dalam bola jaring untuk lebih berminat apabila saya menunjukkan nilai yang positif dalam bermain bola jaring,” ujar Aishah yang masih mempunyai seri inai memerah di jarinya.

Aishah dan rakan sepasukan kini akan berentap pada minggu kedua NSL 2022 dan akan berhadapan Pahang Tulips pada Jumaat sebelum bertemu juara bertahan, KL Wildcats pada Ahad di Stadium Juara, Bukit Kiara.