SKUAD hoki remaja lelaki kebangsaan, Young Tigers, menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali menjulang trofi Piala Sultan Johor apabila menewaskan Pakistan menerusi penentuan pukulan penalti (shootout) selepas terikat 2-2 dalam aksi final, malam ini.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian pada edisi sulung 2011, kali terakhir mereka muncul juara kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun berkenaan.
Pakistan terlebih dahulu menguasai permainan apabila Rana Waleed membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19 sebelum Muhammad Usman menggandakan kelebihan dua minit kemudian.
Bagaimanapun, Young Tigers enggan mengalah apabila Adam Asyraf merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-25 untuk menghidupkan kembali peluang Malaysia.
Dheeressh Gunaseelan kemudian muncul penyelamat apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-49 bagi mengikat kedudukan 2-2, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi shootout selepas kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan dalam permainan sebenar.
Dalam penentuan shootout, Malaysia mempamerkan ketenangan untuk menang 4-3, dengan Aferull Syah muncul wira apabila menyempurnakan pukulan penentu kemenangan buat skuad negara.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Young Tigers yang kembali ke pentas final buat kali pertama sejak 2013, ketika mereka tewas 0-3 kepada India.
Selepas penantian panjang sejak kejayaan sulung pada 2011, kemenangan ke atas Pakistan kali ini mengesahkan kebangkitan hoki remaja negara dan menghadiahkan gelaran Piala Sultan Johor sekali lagi buat Malaysia.