Kuala Lumpur Thunder dan PDRM Defenders bakal membuat perhitungan di pentas final STL Premier 2026 Grand Prix (GP) Perak selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi separuh akhir, hari ini.

Kuala Lumpur Thunder terlebih dahulu mengesahkan kemaraan apabila menewaskan ATM Guardians 2-1 dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama tiga set.

KL Thunder memenangi set pertama 17-15 sebelum ATM Guardians bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 15-13 pada set kedua. Bagaimanapun, KL Thunder memastikan kemenangan selepas menguasai set penentuan 15-12.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, PDRM Defenders menempah tiket ke final selepas menewaskan Johor Tigris 2-0.

PDRM mempamerkan ketenangan dalam pertarungan sengit apabila memenangi set pertama 15-12 sebelum mengesahkan kemenangan menerusi set kedua yang berlanjutan sehingga 17-16.

Keputusan itu menyaksikan Johor Tigris gagal meneruskan kejutan selepas menyingkirkan Negeri Sembilan Antlers pada suku akhir, manakala PDRM Defenders meneruskan kemaraan dengan prestasi meyakinkan.

Pertembungan final antara KL Thunder dan PDRM Defenders dijangka menjanjikan aksi menarik apabila kedua-dua pasukan kini hanya selangkah untuk merangkul gelaran juara GP Perak.

Sementara itu, ATM Guardians dan Johor Tigris akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.