Kredit Gambar: FB MSN Selangor
Selangor terus mengukuhkan dominasi dalam acara futsal lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila mempertahankan pingat emas selepas menewaskan Pulau Pinang 4-1 pada aksi final di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam, semalam.
Penyerang Selangor, Fitri Haqim Faiznizam muncul watak utama kejayaan pasukan tuan rumah apabila meledak hatrik, sekali gus memastikan Selangor mengulangi kejayaan mereka pada edisi SUKMA Sarawak 2024.
Selangor tampil lebih agresif sejak awal permainan dengan mencipta beberapa peluang untuk membuka jaringan, namun ketangkasan penjaga gol Pulau Pinang, Arif Zabidi, berjaya menafikan percubaan bertali arus pasukan tuan rumah.
Ketika Selangor semakin rancak mencari gol, Pulau Pinang terlebih dahulu mengejutkan barisan tuan rumah apabila Amirul Hakimi Admi memecah kebuntuan pada minit ke-19 untuk memberikan Harimau Kumbang kelebihan 1-0 sebelum tamat separuh masa pertama.
Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat Selangor yang terus meningkatkan tekanan sebaik babak kedua bermula. Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Amir Ammar Ibrahim menyamakan kedudukan pada minit ke-22 selepas beberapa siri serangan dilancarkan ke arah gawang Pulau Pinang.
Bermain di hadapan penyokong sendiri menyemarakkan lagi semangat skuad kendalian Eoh Shao Yao yang terus mengawal rentak permainan dan mencari ruang untuk menambah jaringan bagi mengubah kedudukan.
Kecederaan yang dialami Arif Zabidi memaksa Pulau Pinang melakukan pertukaran penjaga gol dengan Imanullah Buliami mengambil alih tugas. Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Selangor apabila Fitri Haqim meledak dua gol dalam tempoh hanya seminit, masing-masing pada minit ke-33 dan ke-34, untuk meletakkan tuan rumah di depan 3-1.
Pulau Pinang kemudian cuba mengubah rentak permainan dengan menggunakan strategi power play bagi mengejar defisit dua gol. Namun, pendekatan itu membuka ruang kepada Selangor untuk melakukan serangan balas dan Fitri Haqim melengkapkan hatrik peribadinya pada minit ke-38 untuk menjadikan kedudukan 4-1.
Kejayaan tersebut memastikan Selangor sekali lagi berdiri di podium tertinggi futsal lelaki SUKMA, selain mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2024 dan meneruskan momentum positif mereka sebagai juara bertahan.