PDRM Defenders muncul juara Grand Prix (GP) Perak, sekali gus membuka kempen STL Premier 2026 dengan langkah cemerlang selepas menewaskan Kuala Lumpur Thunder 2-1 dalam aksi final yang mendebarkan.

PDRM bangkit daripada kekalahan besar pada set pertama untuk menundukkan KL Thunder dengan keputusan 3-15, 17-15 dan 15-13, sekali gus merangkul gelaran GP pertama musim ini.

KL Thunder yang mempertaruhkan Kamarul Ezzad selaku kapten di posisi apit kiri, Chutchanan Suwanrat sebagai tekong dan Redwan Hakim di apit kanan bermula garang apabila membelasah PDRM 15-3 pada set pembukaan.

Bagaimanapun, PDRM yang dibarisi Shahalril Aiman di apit kanan, Worapat Kaewtawatwiset sebagai tekong dan kapten Shahalril Aimin di apit kiri bangkit memperkemaskan permainan untuk memenangi set kedua 17-15.

Momentum itu diteruskan PDRM dalam set penentuan apabila mereka mengatasi tentangan KL Thunder 15-13 untuk mengesahkan kemenangan dan menjulang trofi GP Perak.

Kejayaan itu membolehkan PDRM Defenders mengutip 32 mata untuk mendahului carta keseluruhan STL Premier 2026, manakala KL Thunder berada di kedudukan kedua dengan 28 mata selepas muncul naib juara.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, ATM Guardians turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas Johor Tigris.

Johor terlebih dahulu memenangi set pertama 15-8, namun ATM bangkit dengan kemenangan 15-11 pada set kedua sebelum menamatkan perlawanan menerusi kemenangan tipis 17-15 dalam set penentuan untuk meraih tempat ketiga GP Perak.