KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak menyatakan  pemain-pemainnya gembira beraksi di hadapan penyokong sendiri yang sekaligus memberi atmosfera hebat.

Dia turut menganggap pasukannya lebih baik berbanding Terengganu FC (TFC) dan seharusnya menang pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Hodak juga enggan mahu bercakap banyak tentang perlawanan ini kerana tidak mahu menyentuh isu pengadilan dan menyerahkan kepada kelab untuk membuat bantahan kepada pihak berwajib.

“Atmosfera yang dihasilkan kedua-dua penyokong begitu menakjubkan malam ini dan para pemain sangat menggemari untuk bermain dalam keadaan seperti ini dan kami menjangkakan atmosfera yang sama juga di Kuala Terengganu.

“Kami adalah pasukan yang lebih baik malam ini dan seharusnya memperolehi kemenangan tetapi saya tidak mahu bercakap lebih banyak kerana semuanya nanti akan terarah kepada mutu pengadilan.

“Segalanya akan diserahkan kepada pihak kelab jika mereka ingin menghantar bantahan dan kami hanya ingin melupakan perlawanan ini dan fokus kepada perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kuala Lumpur City FC tewas 1-0 kepada Terengganu FC menerusi jaringan Kpah Sherman pada babak pertama dan kini akan mempunyai tugas yang sukar di tempat lawan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.