PEMINAT Sadio Mane yang fanatik mencipta sebuah patung dirinya di negaranya, Senegal. Karya seni terakhir untuk mengabadikan peledak Bayern Munich itu menjadi bahan ejekan di media sosial.

Mane adalah salah seorang pemain bola sepak yang paling disegani di Senegal. Bekas tonggak Liverpool itu berjaya membawa negaranya ke Piala Negara-Negara Afrika 2021 dan layak ke Piala Dunia 2022.

Bukan itu sahaja, Mane juga sering menghulurkan bantuan kepada rakyat Senegal khususnya di kampung halamannya di Bambali. Kemurahan hatinya menyebabkan Mane memenangi edisi sulung Anugerah Socrates pada malam gala Ballon d’Or 2022.

Seorang pengukir di Senegal menghargai apa yang telah diberikan oleh Sadio Mane kepada negaranya. Dia mencipta patung penyerang berusia 30 tahun itu di ibu kota Senegal, Dakar dan ia telah didedahkan pada awal November 2022.

Memetik laporan media Senegal, Senenews, patung Mane diperbuat daripada buluh dan memakai jersi pasukan kebangsaan Senegal. Patung itu memaparkan salah satu perayaan Mane di Piala Negara-Negara Afrika 2021.

Kemunculan patung baharu Mane di Senegal nampaknya menjadi bualan peminat di media sosial. Ramai yang mengejek karya seni itu kerana ia dianggap tidak sama sekali dengan Mane.

Malah ada yang menyamakannya dengan patung wajah Cristiano Ronaldo di Madeira yang menjadi viral kerana dianggap tidak serupa dengan CR7.

“Patung Sadio Mane lebih teruk daripada Ronaldo,” tweet seorang peminat.

“Artis yang membuat patung ini perlu didakwa atas ubah bentuk watak. Untuk meluluskan patung sampah Sadio Mane ini, Senegal dan rakyat Senegal telah dimalukan,” tulis peminat lain.

“Ini benar-benar tidak menghormati. Patung Mane telah didedahkan di Dakar. Bagaimana mungkin Mane…,” tulis seorang peminat di Twitter.