PEMILIK Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi gambaran bahawa kelabnya itu akan menjalani perubahan besar untuk menghadapi musim 2023 selepas mencatat kejayaan yang gemilang tahun ini.
Perkara ini disahkan sendiri ketika ditemubual oleh Astro Arena dan juga menerusi ciapan melalui laman Twitter rasminya.
“Ianya masa untuk melakukan perubahan yang akan meningkatkan dan memperbaiki kelab ini dalam semua aspek. Sekarang adalah tempoh yang paling berjaya dalam sejarah kelab ini. Namun itu bukanlah alasan untuk berasa selesa dan kekal statik. Kami perlu terus bergerak ke hadapan dan menjadi semakin baik,” tulis Tunku Ismail.
It’s time to make changes that will uplift and improve the club in every aspect. It has been the most successful time for the club. But that’s not an excuse to be complacent and stay static. We must continue progressing and improving. @OfficialJohor https://t.co/tnrx3rLuWG
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) November 29, 2022
Tunku Ismail turut menyatakan bahawa JDT akan menganggap diri mereka sebagai pasukan ‘underdog’ atau bukan pilihan dalam saingan Liga Malaysia 2023 kerana mereka tidak akan melakukan pelaburan yang banyak.
Di bawah nakhoda Tunku Ismail, JDT telah berjaya memenangi 22 piala sejak ditubuhkan pada 2013 dengan kejayaan di peringkat domestik dan juga berjaya melakar kejutan dalam kejohanan di peringkat Asia.

Bagaimana pun segala persoalan mengenai masa depan JDT akan terjawab apabila Tunku Ismail sendiri akan melakukan temubual eksklusif untuk bercakap mengenai aspirasi dan perpindahan pemain di semua platform media sosial JDT pada Rabu.